RMS Meraikan Anak Yatim Masyarakat India

14883590_949305268506929_361275063853672731_o

24 Oktober 2016, SETIA ALAM – Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor (DYTM Raja Muda Selangor) percaya kepada konsep masyarakat penyanyang di mana semua lapisan masyarakat haruslah mempunyai nilai keprihatinan yang tinggi di dalam membantu dan menangani masalah – masalah yang dihadapi masyarakat tanpa mengira agama, bangsa, jantina, umur, politik dan kedudukan. Oleh yang demikian, Tuanku telah berkenan untuk mencemar duli dan meluangkan masa dengan anak – anak yatim kaum India sempena perayaan Deepavali di Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Sai Pandian, Setia Alam. Tuanku sangat prihatin dengan keadaan kanak – kanak di pusat ini yang memerlukan kemudahan dan keperluan asas. Tuanku berhasrat untuk meringankan beban pusat kebajikan tersebut serta menceriakan kawasan sekitar agar kanak – kanak ini boleh menjalani kehidupan seharian dengan lebih selesa.

Melalui initiatif yang diinspirasikan oleh DYTM Raja Muda Selangor ini, Selangor Youth Community (SAY) dan Sunway Group (Sunway) telah berkejasama untuk memastikan kanak-kanak ini dapat menyambut perayaan Deepavali pada tahun ini dengan lebih bermakna.

Melalui lawatan SAY ke Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Sai Pandian, kanak – kanak di sini memerlukan beberapa kelengkapan dan juga keperluan seperti perabot, ruang riadah dan juga barangan elektrik. Sunway telah tampil selaku penaja utama program ini dengan membina kawasan foyer untuk riadah dan juga membekalkan kelengkapan – kelengkapan lain seperti rak buku, kipas angin dan juga lampu tambahan.

Bagi menghiburkan kanak – kanak ini, Sunway juga telah bersetuju untuk meraikan mereka di Sunway Lagoon Theme Park. Di sini, DYTM Raja Muda Selangor akan meluangkan masa bersama kanak – kanak ini beriadah di ‘Wildlife Park’ dan taman tema ‘Dry Park’. Selain itu, beberapa acara sampingan juga akan dijalankan seperti persembahan gendang tradisional dan program ini akan di akhiri dengan jamuan makan malam di Restoran Lighthouse.

 


The Author