Lawatan Tuanku Raja Muda Selangor ke Johor

DYTM Tengku Amir Shah

17 Julai 2016, JOHOR BAHRU – Raja Muda Selangor, DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah mencemar duli menziarahi Tengku Mahkota Johor, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim di Johor Bahru. Tuanku Raja Muda Selangor juga diiringi oleh dua orang sepupunya Tengku Shakirinal Amin Shah dan Tengku Salehuddin Ismail Shah yang juga merupakan sepupu kepada DYAM Tunku Ismail. DYAM Tunku Ismail menjemput DYTM Tengku Amir di hotel Thistle pada jam 4.30 petang, Jumaat 15 Julai 2016 dan memandu sendiri tetamu DiRaja-nya ke Istana Bukit Serene, Kem Askar Timbalan Setia Negeri Johor, Kelab Polo Diraja Johor dan Istana Pasir Pelangi. Kedua-duanya meluangkan masa hampir dua jam bersama pada sebelah petang.

Di sebelah malamnya pula, DYAM Tunku Ismail juga turut mengiringi DYTM Tengku Amir Shah mencemar duli melawat pusat latihan pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) di Padang Gelam termasuklah Pusat Latihan Tertutup Dato’ Suleiman Mohd Noor dan juga JDT Cafe. Baginda juga telah meluangkan masa selama beberapa jam membincangkan isu-isu semasa bersama DYAM Tengku Ismail. Antara yang dibincangkan termasuk pembangunan belia, pembangunan bola sepak dan perlunya seluruh rakyat Malaysia bersatu tidak kira latar belakang, kaum, asal usul negeri dan sebagainya demi kemajuan dan kesejahteraan negara. DYTM Tengku Amir Shah juga berkesempatan meluangkan masa beramah mesra dengan pemain-pemain pasukan Johor Darul Takzim.

Pada keesokan harinya (16 Julai 2016), DYTM Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli melawat Kilang Bateri (Bateri) yang terletak di Jalan Tampoi, Johor Bahru. Baginda amat tertarik dengan konsep pusat beli belah yang di asaskan oleh komuniti belia di Johor Bahru dan juga program-program yang di jalankan oleh komuniti belia di sana.


The Author

Haziq Asyraf